Nuffnang

16 Januari 2014

Hati Yang Teruji

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt...

Setelah sekian lama saya menyepi, kini Alhamdulillah saya masih diberi keizinan oleh Allah swt untuk terus menarikan jari-jemari di papan kekunci laptop kesayangan saya ini.  Sekian lama juga saya kekeringan dan ketandusan ilham dari yang Maha Kuasa, hari ini secara tiba-tiba hati saya kembali tergerak untuk kembali mencoretkan apa yang terlintas di hati ini.  Sesungguhnya saya memang insan yang serba kekurangan.  Kepada Allah swt jugalah saya serahkan segalanya.





Keyakinan pada Yang Maha Esa

Kita sering menyatakan bahawa kita yakin pada Allah swt.  Segalanya adalah ketentuan dariNya.  Namun sejauh manakah benarnya keyakinan kita tersebut?  Apakah realitinya?  Adakah apabila kita diuji, kita akan segera kembali kepadaNya? atau kita terus biarkan diri kita hanyut dibawa arus dan sedikit demi sedikit kita biarkan diri kita karam terus di dalam launtan dunia? Tepuk dada tanyalah iman.  Soalan ini juga yang sedang saya tanyakan pada diri sendiri.

Saya sering mendengar di dalam muzakarah-muzakarah yang saya hadiri bahawa kita perlu meletakkan segala keyakinan kita iaitu secara total (tanpa sedikit pun rasa berbelah bahagi) bahawa semua perkara, seluruh penciptaan di langit dan di bumi adalah di bawah kuasa dan taklukan Allah swt.  Setiap apa yang berlaku hatta sebutir pasir yang bergerak di dasar lautan yang dalam lagi gelap gelita adalah di dalam pengetahuan Allah swt. Setiap ujian yang dititipkan kepada kita sama ada ujian yang mengembirakan mahupun yang mendatangkan penderitaan adalah datangnya dari Allah swt.  Keyakinan inilah yang perlu ada dalam diri kita sebagai hamba yang Maha Pencipta.  Keyakinan yang perlu sentiasa 'di polish' setiap masa dan ketika sehinggakan tiada langsung ruang dihati kita untuk ada keyakinan pada lain selain daripada Allah swt.  Sehinggakan sedikitkan pun tiada ruang dihati kita untuk membesarkan makhluk selain dari Allah swt semata.

Ujian

Namun realitinya, dimanakah kita sewaktu kita diuji? Adakah segera kita kembali merayu dan merujuk kepada yang Maha Berkuasa? Atau setelah kehabisan idea barulah kita mencari-cari sejadah dan arah kiblat untuk kita bercerita?

Contohnya, tak perlulah ujian yang berat-berat cukuplah sekadar diuji dengan sedikit rasa pening kepala atau sakit gigi (asyik lupa nak gosok gigi agaknya hehe), adakah kita mencari Allah swt atau terus di dalam hati kita yang diingat adalah doktor ataupun stok ubat yang ada di dalam simpanan?  Mungkin sudah menjadi kebiasaan pada diri kita bahawa meletakkan segala penyelesaian kepada apa-apa masalah yang melanda kepada asbab terlebih dahulu kemudian barulah doa dan tawakal.  Tetapi alangkah baiknnya, sekiranya kita mulakan dulu dengan solat sunat dua rakaat mengadu dengan niat ingin mengadu dan bermanja dengan Allah swt terlebih dahulu kemudian barulah diikuti dengan usaha-usaha sampingan yang lain.  Dan seterusnya bersabar dengan segala apa yang telah ditentukan olehNya.  Agar hati tidaklah berasa terlalu culas dengan 'result' yang bakal diterima.

Setiap ujian yang diterima adalah berbeza mengikut kapasiti kemampuan kita yang mana ia adalah rahsia di dalam genggaman Allah swt.  Janganlah kita membandingkan  masalah yang melanda diri kita dengan apa yang menimpa atau ada pada orang lain.  Jangan juga dipertikaikan 'mengapa' dan 'kenapa' kita diuji begitu dan begini.  Bukankan setiap ujian itu tanda cinta dan kasihnya Allah swt kepada kita? Setiap ujian yang mendatang adalah tanda 'ingatan tulus ikhlas' daripada Allah swt.  Tidak kiralah kita diuji dengan kesakitan, kesusahan mahupun kesenangan.  Bersyukurlah bahawa kita masih lagi 'dipandang' oleh Allah swt walaupun dengan segala kekurangan iman dan amal yang ada pada diri kita.  Walaupun kita sering 'terlupa' nak solat dan sebagainya.


Ujian juga bertindak sebagai 'soft reminder' kepada diri kita yang sering alpa, terlupa (atau buat-buat lupa), dan sewaktu dengannya.  Bukankah lebih baik kita diingatkan daripada terus dibiarkan begitu sahaja?  Setiap kesabaran dan keteguhan hati (semestinya ini juga dari Allah swt) akan diganjarkan dengan hikmah yang tersendiri.  Malah akan dibalasi dengan sesuatu yang lebih baik (yang mana kadang kala kita terlepas pandang begitu saja).  Ujian boleh datang dalam pelbagai aspek dan rupa serta dari pelbagai keadaan yang boleh dijangka mahupun tidak terjangka.  Barangkali ia juga hadir dari sudut yang tidak disangka-sangka.  Mungkin kita akan didatangkan ujian dalam bentuk masalah rumahtangga, keluarga, jiran, dan sebagainya.  Dan mungkin juga ia datang dalam bentuk ekonomi (meningkat mahupun merundum), masalah negara, politik dan sebagainya.  Walau apa pun rupa yang datang, janganlah kita lupa, disebalik tabir pembingkinan cereka tersebut adalah tetap dari Sang Pencipta.  Dialah director kehidupan kita.  Jadi rujuklah kepadaNya.  Telah Dia sediakan kepada kita ensklopedia yang lengkap serta berguna kepada kita.

Oleh yang demikian bersabarlah saudara dan saudariku.  Lihatlah pada janji-janji Allah swt.  Yakinlah di dalam hatimu bahawa di sepanjang lorong yang gelap gelita pasti ada cahaya dihujungnya.  Sehebat mana taufan yang melanda pasti akan reda jua akhirnya.  Letakkan seluruh kepercayaan yang ada di hati kita kepada Allah swt.

Tajam-tajam mawar berduri,
Mekar mewangi kuntuman bunga,
Tahanlah hati diuji sendiri,
Pasti hikmah hujungnya bahagia.




Dalam pencarian ini, akhirnya ku temui Indahnya Islam
16 Januari 2014 (Khamis)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan