Nuffnang

10 Januari 2011

Satu Keindahan

Sebaik sahaja dia mendengar suara azan dilaungkan, dia segera menyarungkan sepatunya untuk terus menuju ke masjid.  Seruan Allah swt ingin segera dia penuhi.  Itu janjinya sejak dia mula mengenali Penciptanya itu.  'Janji harus dikotakan'.  Dia cuba menambahkan kekuatan pada azamnya itu.

Untuk menuju ke masjid, dia perlu melalui lorong-lorong yang dipenuhi dengan pelbagai ragam peniaga.  Suasana masih lagi meriah seolah-olah mereka semua tidak mendengar panggilan Yang Maha Agung itu.  Urusan jual beli masih lagi berlangsung.

'Ya Allah, semoga kau bukakan hati mereka untuk sama-sama menunaikan solat kepadamu'.  Hatinya tidak putus-putus berdoa kepada Yang Maha Esa.  Namun tiba-tiba langkahnya terhenti, pandangannya terpaku pada satu wajah yang terlindung sebalik sehelai hijab.  Matanya bercahaya.  Kerlingan mata itu penuh misteri menusuk ke hatinya.  Dia seakan-akan dapat melihat gadis berhijab itu tersenyum kepadanya.  Sungguh menawan!

Hiasan dunia yang terindah itu membuatkannya terlupa seketika akan tujuan asalnya melangkah sebentar tadi.  Tergugat imannya seketika. 'masa solat masih panjang.' getus hatinya.

Dia terus tertanya siapakah gadis misteri tersebut.  Dia masih tidak mampu melarikan matanya daripada memandang ke arah gadis itu.  Tiba-tiba gadis tadi melangkah membelakanginya.  Dia berasa cemas.  Terasa sayang untuk melepaskan gadis tersebut.  Dia turut melangkah mengekori gadis misteri itu.

Tiba di suatu persimpangan, dia melihat masjid yang ingin dia kunjungi sebentar tadi berada di sebelah kanannya.  Dia berhenti seketika.  Imannya meronta-ronta ingin memenuhi tuntutan Ilahi.  Namun gadis yang diekorinya itu berhenti disimpang kiri laluan tersebut telah membuatkan dirinya di dalam dilema.  Nafsu dan iman di dalam hati terus bertelagah.

'Aku boleh solat di rumah gadis ini.' pujuk sang nafsu.  Dia tersenyum kepada gadis tersebut yang masih menunggunya di simpang kiri.  Segera kakinya melangkah mengikut kata nafsunya.  Iblis dan syaitan bersorak kegembiraan.

Matanya terus terpaku mengekori langkah gadis misteri yang sungguh menawan itu.  Sayang untuk dilepaskan walaupun seketika.  Dia seolah-olah tidak sedar yang dirinya telah memasuki suatu kawasan yang telah diwakafkan sebagai tanah perkuburan.  Terlihat akannya sebuah rumah yang sungguh kecil.  Gadis tersebut memasuki rumah itu.

Pintu rumah tersebut dibuka.  Kelihatan sebuah katil berada di tengah-tengah ruang tamu rumah tersebut.  Gadis itu terus membaringkan tubuhnya ke atas tilam yang telah tersedia itu.

"Masuklah dan kunci pintu itu."  Suara gadis itu sungguh manja menggetarkan mana-mana hati pun yang mendengarnya.

"Buangkan kunci tersebut keluar dan datanglah kepadaku" Gadis itu menunjukkan ke arah sebuah tingkap kecil yang terletak di kiri pintu tersebut.  Dia segera mengikuti arahan gadis itu.

Dia membaringkan dirinya disebelah gadis tersebut.  Langsung dia lupa akan janji-janjinya kepada Ilahi.  Gadis misteri itu perlahan-lahan membuka hijabnya.

Alangkah terkejutnya dia melihat wajah disebalik hijab tersebut.  Wajah gadis itu tidak seindah yang dia bayangkan.  Wajah itu sungguh buruk dan menakutkan.  Dia cuba untuk bangun namun terasa badannya begitu berat untuk bergerak.  Dia berasa sungguh takut dan menyesal.

"Mengapa kau kelihatan begitu takut sekali melihat wajahku? Sedangkan sebentar tadi tanpa ragu-ragu kau telah mengekoriku?  Bukankah kau tidak takut sehingga begitu berani memungkiri janjimu pada tuhanmu?" gadis itu menyeringai menambahkan lagi kehodohan diwajahnya.

"Aku adalah duniamu sewaktu kau masih hidup.  Kini kau telah pun mati.  Kau telah mengikut kata nafsumu sehingga aku yang tidak berharga walaupun dengan sebelah sayap lalat ini telah kau kejar.  Kau telah tertipu dengan hijab kecantikanku.  Dan kini, inilah pembalasan atas segala apa yang telah dirimu lakukan."  Gadi itu bingkas berdiri dan berlalu pergi meninggalkannya.

Rumah itu tiba-tiba bertukar gelap gelita dan ruang menjadi semakin sempit.  Dia cuba menjerit untuk meminta pertolongan namun tiada siapapun yang mendengar...

***

Dari awal kelahiran kita, kita telah dapat melihat, mendengar dan merasai betapa dunia ini Allah swt jadikan sungguh indah.  Kita tidak mampu melarikan diri dari memuji -muji dan memuja-muja keagungan kuasa Ilahi.

Malah Allah swt sendiri telah menjadikan kita sebagai satu ciptaanNya yang sangat unik, manarik, tertarik dan memang 'Da Bom'.  Mata, hidung, bibir dan sebagainya terletak indah ditempat yang sepatutnya.  Allah swt telah memberi kita peluang untuk bernafas disepanjang usia kita.  Kita dibenarkan berjalan menerokai keindahan alam ciptaannya.  Hati yang disinari iman terus bertasbih dan bertahmid memujiNya.

Namun di dalam keasyikan kita menerokai segala yang ada, kita kadang-kadang atau seringkali terlupa dan terlalai seketika dalam mengingatiNya.  Apabila diri dibaluti dengan kemewahan dunia kita bergembira sehingga terlupa mengucapkan syukur kepada yang memberi.  Tetapi ketika diri dilanda ujian yang mendukacitakan tanpa segan dan silu kita terus meminta-minta kepadaNya.  Betapa manusia sememangnya mudah lupa.

Seandainya kita dijemput bertemu yang Maha Agung disaat kita sering mengingatinya alangkah beruntungnya kita.  Namun cuba kita bayangkan seketika, andai kata kita dijemputNya disaat kita asyik dengan keindahan dunia yang sementera ini dan tidak bersedia...apakah nasib kita??? fikirkanlah dan cubalah kita bayangkan sejenak...

Waallahualam...

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan
(yang mengatasi kekuasaan Kami;masakan dapat)!
(Ar-Rahman, ayat 33)


Dalam pencarian ini, akhirnya ku temui Indahnya Islam
10 Januari 2011 (Isnin)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan