Nuffnang

05 Januari 2011

Coretan Hati Pertama...

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
                                                                     (Al-Baqarah, ayat 284)

*****



Saya berkira-kira untuk melakukannya.  Bimbang sekiranya disalah anggap.  Namun segera saya beristighfar.  Mengakui kesilapan diri.  Apakah hak saya untuk meneka rasa hati dan fikiran orang lain?  Apa hak saya untuk menghukum mereka yang kononnya mereka akan memandang serong kepada saya?  Hakikatnya saya tidak punya sebarang hak untuk berfikiran sedemikian.  Saya seharusnya berfikir yang baik-baik sahaja tentang mereka.  Mereka semua adalah saudara seiman saya.  Mereka jauh lebih baik dan tinggi nilai imannya.  Ibadah mereka jauh lebih sempurna dari saya.  Jiwa dan hati mereka tidak serapuh jiwa dan hati saya.

Sememangnya diakui untuk memulakan sesuatu yang baru bukanlah satu perkara yang mudah.  Saya hanya mampu berdoa semoga Allah swt mengampunkan dosa-dosa saya dan semoga Allah swt meningkatkan iman saya dengan setiap ujian yang Dia berikan kepada saya...

SETENANG AIR DI KALI

”Cunlah isteri abang ni bila dah pakai macam ni.” suami tercinta tersenyum memandang ke arah saya.  Sedikit sebanyak komennya yang sepatah itu menenangkan hati saya.

”Macam tak confident la nak pakai macam ni bang.” jujur saya meluahkan rasa hati.

”Takpe. Slow-slow ye sayang.  Insyaallah, dah lama nanti okeylah tu.” Suami terus memberi kata-kata semangat.  Semangatnya mengalahkan pom-pom boy.  Sangat berkesan! Hehe..

Saya membetul-betulkan purdah yang dipakai.  Permulaan yang agak kurang selesa kerana kadang-kadang kain tersebut terkena bahagian mata.  Hati saya agak berdebar-debar.  Maklumlah berpakaian sebegini bukanlah suatu kebiasaan di mata masyarakat melayu kita.

”Okey la kot.  At least kalau terkentut pun orang tak tau muka kita macam mana.” gurauan saya disambut dengan tawa suami.

Setelah beberapa lama saya berfikir, akhirnya Allah swt telah menggerakkan hati saya untuk berpurdah.  Bukan niat saya untuk tunjuk baik atau berlagak lebih baik daripada orang lain dengan berpakaian begini.  Niat saya hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah swt.  Ternyata terlalu banyak kelebihan yang saya temui dalam pencarian berkenaan isu ini. Diantara kelebihan berpurdah  ialah :


-  "Barangsiapa memakai purdah pada hari akhirat kelak di syurga, satu orang lelaki mukmin akan dapat melihat wajah Allah pada setiap hari Jumaat, itulah nikmat yg paling tinggi di syurga...tetapi bagi wanita yang berpurdah Allah swt sendiri akan pergi ke syurga untuk melawat mereka bila mereka memerlukanNya...... "

- Allah akan tingkatkan Nur pada wajah 13x ganda daripada wajah asli. Kecantikan wajah seseorang wanita terletak bila Allah beri Nur wajah ini.

- Manfaat di dunia dengan memakai purdah sepenuhnya.

- Di syurga Allah beri 70x ganda kecantikan Laiba (Ketua Bidadari). Inilah manfaat rohani dan akhirat jika wanita ini dapat amalkan purdah. Ini merupakan satu rahmat dan nikmat Allah.

- Siti Fatimah berkata pada Rasulullah S.A.W, "Hai Rasulullah jika seseorang dapat menjaga auratnya itu adalah lebih manis daripada MADU tetapi untuk mengamalkannya adalah lebih halus dari seurat rambut kerana untuk menjaga seurat rambut adalah amat susah.

- Siti Fatimah r.a dapat menjaga auratnya dengan sepenuhnya hingga akhirat kelak apabila dia hendak melintasi Titian Sirat, Allah S.W.T memerintahkan semua supaya tunduk dan berpaling pandangan mereka dari melihat Siti Fatimah r.a. Beliau sungguh pandang berat pada aurat hingga beliau meninggalkan wasiat supaya jika ia meninggal dunia maka kebumikan beliau pada waktu malam supaya tidak siapa dapat melihat samada beliau kurus atau gemuk, tinggi atau pendek.

Waallahualam...

Saya berpurdah bukanlah kerana berhajatkan segala kelebihan-kelebihan di atas tapi hanyalah kerana Allah swt.  Segala kelebihan yang diketahui hanyalah sebagai penambah perasa keghairahan untuk melaksanakannya.

Semua muslimah di dunia ini tahu akan perintah Allah swt adalah memakai tudung dan melabuhkannya agar diri lebih terpelihara dan pemakaian purdah bukanlah satu kawajipan.  Ia adalah pilihan saya dan para muslimah yang lain. Terpulang pada anda. Tiada paksaan.  Full stop!!!

Sebagai insan biasa, kita sering terbuai dengan rasa cinta dan rindu kita kepada sang kekasih. Kita sanggup lakukan apa saja demi mengembirakan mereka.  Kita sanggup bersusah payah melakukan sesuatu demi membalas dan menghargai setiap pemberian orang kita cintai.  Begitulah hebatnya CINTA.

Saya juga begitu.  Rasa cinta dan rindu yang tiada kesudahan buatNya bagaikan tiada kesudahan.  Saya bagaikan seorang yang gila bayang.  Sering terbayang akan kerinduan yang tiada bertepi kepadaNya.  Demikianlah akhirnya saya sanggup berpurdah.  Hanya kerana ingin meraih cinta yang Maha Esa.

Namun kekangan ditempat kerja yang tidak membenarkan pakaian yang menutup muka seringkali membuatkan saya berasa begitu sayu dan sedih.  Ya! Diluar saya boleh berpakaian mengikut citarasa saya tapi ditempat kerja saya tidak dibenarkan berbuat sedemikian.  Kadang-kala kesedihan yang bertamu di hati saya menyebabkan saya ingin saja meletak jawatan tetapi saya masih terikat dengan perjanjian yang memerlukan saya untuk terus berkhidmat.  Segera saya pujuk hati saya agar terus bersabar.  Bukankah Allah swt itu Maha Bijaksana dalam mengatur hidup hamba-hambaNya.  Inilah aturan hidup yang terbaik bagi saya yang telah Allah swt kurniakan.  Subhanallah!

Sekarang saya tidak lagi berasa kekok untuk berpurdah.  Malah hati saya sangat tenang.  Setenang air di kali.  Saya berasa sangat bahagia, selamat dan sejahtera.  Kini saya tidak perlu menghabiskan masa di depan cermin untuk bersolek apabila ingin keluar.  Saya juga tidak perlu bimbang menjadi mangsa fasyen.  Saya pernah menonton sebuah video klip dari sebuah blog.  Penceramah tersebut berkata yang lebih kurang maksudnya :

”...wanita muslimah adalah wanita yang paling cantik di dunia.  Apabila mereka bercermin, mereka bukanlah bercermin untuk membuatkan lelaki-lelaki lain terpesona dengan mereka.  Mereka juga bukan bercermin untuk membuat lelaki-lelaki lain tergoda akan diri mereka.  Mereka bukanlah bercermin dengan harapan mereka akan kelihatan cantik dan akan dipuji tetapi mereka bercermin untuk memastikan diri mereka tertutup daripada pandangan jahat dunia.  Mereka bercermin untuk memastikan aurat mereka telah betul-betul terjaga dan mereka bercermin untuk mendapat keredhaan dari Allah swt.  Begitulah betapa cantiknya wanita muslimah kita..”

AKHIRNYA...

Saya adalah milik Allah swt.  Hanya Allah swt yang mengetahui apa yang tersurat dan tersirat pada diri saya.  Apa jua yang saya lakukan dan apa jua saya niatkan Dia lebih mengetahui.  Harapan saya adalah semoga Allah swt mengampunkan segala dosa-dosa saya yang lampau.  Terlalu banyak kesilapan yang telah dilakukan.  Sehinggakan setiap solat dan ibadat yang saya lakukan rasa tidak pernah cukup untuk menutupi setiap kesalahan yang lalu.  Hijab yang telah menutupi wajah saya kini juga tidak mampu untuk menghalang rasa malu yang menular dalam diri saya.  Saya malu pada Allah swt, pada RasulNya dan pada diri saya sendiri.  Masa muda yang telah saya sia-siakan dengan hiburan-hiburan dunia yang tiada sudahnya.  Ternyata sungguh sia-sia...

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”;
                          (Al-Imran, ayat 14-16)


Dalam pencarian ini, akhirnya ku temui Indahnya Islam
5 Januari 2011 (Rabu)

1 ulasan:

  1. Salam aliah, hampir saja menitis airmata akk sebaik menghabiskan ayat terakhir entri aliah, akk pun sama. Masih terjerat dengan persekitaran kerja. Jika tidak kerana terpaksa, akk pun sudah terasa hati nak mulakan berpurdah. Sungguh benar, ia menenangkan jiwa.... tapi, doakan akk, semoga hari itu akan tiba kelak...syabas untuk aliah...

    BalasPadam