Nuffnang

16 Januari 2014

Hati Yang Teruji

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt...

Setelah sekian lama saya menyepi, kini Alhamdulillah saya masih diberi keizinan oleh Allah swt untuk terus menarikan jari-jemari di papan kekunci laptop kesayangan saya ini.  Sekian lama juga saya kekeringan dan ketandusan ilham dari yang Maha Kuasa, hari ini secara tiba-tiba hati saya kembali tergerak untuk kembali mencoretkan apa yang terlintas di hati ini.  Sesungguhnya saya memang insan yang serba kekurangan.  Kepada Allah swt jugalah saya serahkan segalanya.





Keyakinan pada Yang Maha Esa

Kita sering menyatakan bahawa kita yakin pada Allah swt.  Segalanya adalah ketentuan dariNya.  Namun sejauh manakah benarnya keyakinan kita tersebut?  Apakah realitinya?  Adakah apabila kita diuji, kita akan segera kembali kepadaNya? atau kita terus biarkan diri kita hanyut dibawa arus dan sedikit demi sedikit kita biarkan diri kita karam terus di dalam launtan dunia? Tepuk dada tanyalah iman.  Soalan ini juga yang sedang saya tanyakan pada diri sendiri.

Saya sering mendengar di dalam muzakarah-muzakarah yang saya hadiri bahawa kita perlu meletakkan segala keyakinan kita iaitu secara total (tanpa sedikit pun rasa berbelah bahagi) bahawa semua perkara, seluruh penciptaan di langit dan di bumi adalah di bawah kuasa dan taklukan Allah swt.  Setiap apa yang berlaku hatta sebutir pasir yang bergerak di dasar lautan yang dalam lagi gelap gelita adalah di dalam pengetahuan Allah swt. Setiap ujian yang dititipkan kepada kita sama ada ujian yang mengembirakan mahupun yang mendatangkan penderitaan adalah datangnya dari Allah swt.  Keyakinan inilah yang perlu ada dalam diri kita sebagai hamba yang Maha Pencipta.  Keyakinan yang perlu sentiasa 'di polish' setiap masa dan ketika sehinggakan tiada langsung ruang dihati kita untuk ada keyakinan pada lain selain daripada Allah swt.  Sehinggakan sedikitkan pun tiada ruang dihati kita untuk membesarkan makhluk selain dari Allah swt semata.

Ujian

Namun realitinya, dimanakah kita sewaktu kita diuji? Adakah segera kita kembali merayu dan merujuk kepada yang Maha Berkuasa? Atau setelah kehabisan idea barulah kita mencari-cari sejadah dan arah kiblat untuk kita bercerita?

Contohnya, tak perlulah ujian yang berat-berat cukuplah sekadar diuji dengan sedikit rasa pening kepala atau sakit gigi (asyik lupa nak gosok gigi agaknya hehe), adakah kita mencari Allah swt atau terus di dalam hati kita yang diingat adalah doktor ataupun stok ubat yang ada di dalam simpanan?  Mungkin sudah menjadi kebiasaan pada diri kita bahawa meletakkan segala penyelesaian kepada apa-apa masalah yang melanda kepada asbab terlebih dahulu kemudian barulah doa dan tawakal.  Tetapi alangkah baiknnya, sekiranya kita mulakan dulu dengan solat sunat dua rakaat mengadu dengan niat ingin mengadu dan bermanja dengan Allah swt terlebih dahulu kemudian barulah diikuti dengan usaha-usaha sampingan yang lain.  Dan seterusnya bersabar dengan segala apa yang telah ditentukan olehNya.  Agar hati tidaklah berasa terlalu culas dengan 'result' yang bakal diterima.

Setiap ujian yang diterima adalah berbeza mengikut kapasiti kemampuan kita yang mana ia adalah rahsia di dalam genggaman Allah swt.  Janganlah kita membandingkan  masalah yang melanda diri kita dengan apa yang menimpa atau ada pada orang lain.  Jangan juga dipertikaikan 'mengapa' dan 'kenapa' kita diuji begitu dan begini.  Bukankan setiap ujian itu tanda cinta dan kasihnya Allah swt kepada kita? Setiap ujian yang mendatang adalah tanda 'ingatan tulus ikhlas' daripada Allah swt.  Tidak kiralah kita diuji dengan kesakitan, kesusahan mahupun kesenangan.  Bersyukurlah bahawa kita masih lagi 'dipandang' oleh Allah swt walaupun dengan segala kekurangan iman dan amal yang ada pada diri kita.  Walaupun kita sering 'terlupa' nak solat dan sebagainya.


Ujian juga bertindak sebagai 'soft reminder' kepada diri kita yang sering alpa, terlupa (atau buat-buat lupa), dan sewaktu dengannya.  Bukankah lebih baik kita diingatkan daripada terus dibiarkan begitu sahaja?  Setiap kesabaran dan keteguhan hati (semestinya ini juga dari Allah swt) akan diganjarkan dengan hikmah yang tersendiri.  Malah akan dibalasi dengan sesuatu yang lebih baik (yang mana kadang kala kita terlepas pandang begitu saja).  Ujian boleh datang dalam pelbagai aspek dan rupa serta dari pelbagai keadaan yang boleh dijangka mahupun tidak terjangka.  Barangkali ia juga hadir dari sudut yang tidak disangka-sangka.  Mungkin kita akan didatangkan ujian dalam bentuk masalah rumahtangga, keluarga, jiran, dan sebagainya.  Dan mungkin juga ia datang dalam bentuk ekonomi (meningkat mahupun merundum), masalah negara, politik dan sebagainya.  Walau apa pun rupa yang datang, janganlah kita lupa, disebalik tabir pembingkinan cereka tersebut adalah tetap dari Sang Pencipta.  Dialah director kehidupan kita.  Jadi rujuklah kepadaNya.  Telah Dia sediakan kepada kita ensklopedia yang lengkap serta berguna kepada kita.

Oleh yang demikian bersabarlah saudara dan saudariku.  Lihatlah pada janji-janji Allah swt.  Yakinlah di dalam hatimu bahawa di sepanjang lorong yang gelap gelita pasti ada cahaya dihujungnya.  Sehebat mana taufan yang melanda pasti akan reda jua akhirnya.  Letakkan seluruh kepercayaan yang ada di hati kita kepada Allah swt.

Tajam-tajam mawar berduri,
Mekar mewangi kuntuman bunga,
Tahanlah hati diuji sendiri,
Pasti hikmah hujungnya bahagia.




Dalam pencarian ini, akhirnya ku temui Indahnya Islam
16 Januari 2014 (Khamis)

11 Januari 2011

Jangan Berhenti Mengharap...

Bismillahirrahmanirrahim...




Satu situasi

A : Dah bertahun-tahun aku kahwin tapi sampai sekarang aku belum ada anak.  Aku tengok si C tu baru 2 bulan kahwin dah mengandung.  Aku dengan suami aku bukannya ada masalah apa pun. Doktor cakap kami berdua okey.

B : Sabarlah.  Nanti adalah tu.  Rezeki orang tak sama.

A : Yelah tapi sampai bila nak sabar?  Kadang-kadang aku terfikir jugak apa salah yang aku buat sampai Allah swt nak uji aku macam ni?

***

Inilah diantara keluh kesah yang sering saya dengar disekeliling saya.  Dulu sebelum saya mendirikan rumahtangga, saya hanya mampu mendiamkan diri kerana saya tidak faham situasi yang berlaku ini.  Sekarang saya mula mengerti tambahan pula setelah setahun lebih saya berkhawin namun masih belum dikurniakan rezeki yang sungguh istimewa ini.  Kadang kala timbul juga perasaan cemburu apabila melihat rakan-rakan dan saudara-mara yang telah Allah swt kurniakan zuriat.  Kalaulah saya yang baru saja berkahwin ini boleh mempunyai perasaan yang begini, tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan pasangan yang telah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga.

Desakan perasaan terus menghimpit diri kerana kurangnya iman di dada.  Itulah hakikat yang suatu ketika 'dulu' menghantui diri saya.  Namun bila diri terasa dekat bersama Yang Maha Pencipta, sedikit demi sedikit  rasa terhimpit itu hilang..  Subhanallah... Itulah kehendakNya Yang Maha Esa.  Allah swt lebih mengetahui setiap perkara itu buruk atau baik bagi hambanya.

Dalam masa lebih setahun usia pernikahan saya bersama insan teristimewa, terdapat beberapa usaha yang telah kami lakukan.  Tetapi mungkin setiap usaha yang dibuat tidak disulami dengan pengharapan kepada Yang Maha Esa, maka keberkatan itu tiada.  Itulah kesilapan saya.  Semoga Allah swt mengampuni dosa-dosa di atas kejahilan saya ini.

Muhasabah Diri

Berdasarkan situasi A di atas tadi, itulah ayat yang sering kita gunakan apabila kita kecewa hajat kita tidak kesampaian.  Seolah-olah kita telah mempersoalkan keadilan Allah swt dalam memberi rezeki kepada hamba-hambaNya.  Namun pernahkah kita bertanya kepada diri kita, adakah kita telah berlaku adil dalam melaksanakan syariat yang telah diperintahkan?  Berapa banyakkah dalam sehari kita berusaha mengingatiNya?  Cukupkah hanya dengan bersolat kita merasakan kita telah cukup mengingatiNya?  Adakah kita berkira semasa ingin beribadat kepadaNya?  Sudahkah kita mengikut segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya?  Tepuk dada tanyalah iman!

Sekiranya dalam sehari-hari pun saya tidak mampu adil dan jujur melaksanakan hak kepada Allah swt, jadi tidak malukah saya menuduh Allah swt tidak adil kepada saya.  Ternyata ia bukan sahaja memalukan namun cukup mengaibkan. Sekiranya saya tidak melaksanakan perintahNya dan melakukan laranganNya adakah hak bagi saya mempersoalkan ketidaksampaian rezeki itu kepada saya.  Semua kelemahan ini adalah dari diri saya sendiri.

Daripada Thauban r.a, Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya seseorang insan terhalang untuk mendapat rezeki lantaran dosa yang dilakukannya"                      (riwayat Ibn Majah)

Nah! sekiranya Rasulullah saw sendiri pun menekankan tentang perkara ini, apakah kita ingin terus mempertikaikannya lagi?  Seorang teman saya dengan baik hati telah berkongsi sedikit tips bagaimana untuk mendapatkan anak.  Katanya, beristighfarlah memohon keampunan daripada Allah swt sekurang-kurangnya 1000 kali sehari.  Untuk memudahkannya lakukan secara berperingkat iaitu beritighfar 200 kali setiap kali lepas solat.  Lakukan dengan niat hanya ingin mendapat keredhaan Allah swt.  Sesungguhnya Allah swt itu Maha Bijaksana.  Percayalah dengan kekuasaan dengan sepenuh hati, jiwa dan raga.  Lakukan secara istiqamah.  Insyaallah, Allah swt itu Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang..  Semoga Allah swt memberi kekuatan kepada kita semua untuk melaksanakannya.  Amin..

"Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).
                                                              (At-Thalaq: ayat 3)

Yakin Dengan Ikrar

Yakinlah dengan kalimah Laailahaillallah yang sering kita ikrarkan itu.  Yakinlah hanya Allah swt yang berkuasa dan semestinya makhluk tiada sebarang kekuasaan.  Suatu ketika suami saya pernah berkata kepada saya yang mana kata-kata itu sangat berbekas di hati saya.

"Sayang, kalau Allah swt nak jadikan seorang manusia, Dia akan jadikannya dengan sekelip mata tanpa perlu melalui perut seorang ibu pun.  Begitulah hebatnya Allah swt" saya hanya terdiam mendengar kata-katanya.

Apabila Allah swt berkehendakkan sesuatu, maka Dia akan jadikannya tanpa perlu adanya paksaan atau arahan.  Itulah Allah swt, Tuhan yang kita sembah.  Sebagai seorang hambaNya yang sangat lemah, kita sering berdoa apabila berhajat sesuatu perkara, jadi teruskanlah berdoa dan janganlah berhenti berharap kepadaNya.  Allah swt itu lebih tahu apa yang terbaik bagi diri kita.  Setahun yang lalu Allah swt tidak kurniakan seorang anak kepada saya mestilah ada hikmahnya.  Mungkin saya masih belum cukup ilmu dan persediaan untuk menjadi seorang ibu.  Dan mungkin saya sendiri masih belum mampu melaksanakan tanggungjawab sebaiknya sebagai seorang isteri yang tersedia di pundak saya kini.  Jadi, sama-samalah kita terus berusaha dan berdoa kepadaNya tanpa rasa jemu dan putu asa..

***
Bersama ini saya sertakan 20 amalan untuk kita jadikan panduan dan amalkan di dalam hidup kita sehari-harian.  Amalan ini telah saya copy paste dari sebuah blog yang kebetulannya saya terjumpa sewaktu sedang menaip entri ini.

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.


Diantaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:


"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)




2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)




3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

"… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)




4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:


"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-ra'd: 28)




5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)


Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:


"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya." (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)




6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)




7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…" (Riwayat Muslim)




8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.




9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."




10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.




11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)




12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)




13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)




14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .




15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)




16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7)

Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)




17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.


Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.


Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.




18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.




19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)


Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.




20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:


"Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) ." (At-Thalaq: 3)


Nabi s.a.w. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab .a.)


Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)


Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Waallahualam...


Dalam pencarian ini, akhirnya ku temui Indahnya Islam
11 Januari 2011 (Selasa)

10 Januari 2011

Satu Keindahan

Sebaik sahaja dia mendengar suara azan dilaungkan, dia segera menyarungkan sepatunya untuk terus menuju ke masjid.  Seruan Allah swt ingin segera dia penuhi.  Itu janjinya sejak dia mula mengenali Penciptanya itu.  'Janji harus dikotakan'.  Dia cuba menambahkan kekuatan pada azamnya itu.

Untuk menuju ke masjid, dia perlu melalui lorong-lorong yang dipenuhi dengan pelbagai ragam peniaga.  Suasana masih lagi meriah seolah-olah mereka semua tidak mendengar panggilan Yang Maha Agung itu.  Urusan jual beli masih lagi berlangsung.

'Ya Allah, semoga kau bukakan hati mereka untuk sama-sama menunaikan solat kepadamu'.  Hatinya tidak putus-putus berdoa kepada Yang Maha Esa.  Namun tiba-tiba langkahnya terhenti, pandangannya terpaku pada satu wajah yang terlindung sebalik sehelai hijab.  Matanya bercahaya.  Kerlingan mata itu penuh misteri menusuk ke hatinya.  Dia seakan-akan dapat melihat gadis berhijab itu tersenyum kepadanya.  Sungguh menawan!

Hiasan dunia yang terindah itu membuatkannya terlupa seketika akan tujuan asalnya melangkah sebentar tadi.  Tergugat imannya seketika. 'masa solat masih panjang.' getus hatinya.

Dia terus tertanya siapakah gadis misteri tersebut.  Dia masih tidak mampu melarikan matanya daripada memandang ke arah gadis itu.  Tiba-tiba gadis tadi melangkah membelakanginya.  Dia berasa cemas.  Terasa sayang untuk melepaskan gadis tersebut.  Dia turut melangkah mengekori gadis misteri itu.

Tiba di suatu persimpangan, dia melihat masjid yang ingin dia kunjungi sebentar tadi berada di sebelah kanannya.  Dia berhenti seketika.  Imannya meronta-ronta ingin memenuhi tuntutan Ilahi.  Namun gadis yang diekorinya itu berhenti disimpang kiri laluan tersebut telah membuatkan dirinya di dalam dilema.  Nafsu dan iman di dalam hati terus bertelagah.

'Aku boleh solat di rumah gadis ini.' pujuk sang nafsu.  Dia tersenyum kepada gadis tersebut yang masih menunggunya di simpang kiri.  Segera kakinya melangkah mengikut kata nafsunya.  Iblis dan syaitan bersorak kegembiraan.

Matanya terus terpaku mengekori langkah gadis misteri yang sungguh menawan itu.  Sayang untuk dilepaskan walaupun seketika.  Dia seolah-olah tidak sedar yang dirinya telah memasuki suatu kawasan yang telah diwakafkan sebagai tanah perkuburan.  Terlihat akannya sebuah rumah yang sungguh kecil.  Gadis tersebut memasuki rumah itu.

Pintu rumah tersebut dibuka.  Kelihatan sebuah katil berada di tengah-tengah ruang tamu rumah tersebut.  Gadis itu terus membaringkan tubuhnya ke atas tilam yang telah tersedia itu.

"Masuklah dan kunci pintu itu."  Suara gadis itu sungguh manja menggetarkan mana-mana hati pun yang mendengarnya.

"Buangkan kunci tersebut keluar dan datanglah kepadaku" Gadis itu menunjukkan ke arah sebuah tingkap kecil yang terletak di kiri pintu tersebut.  Dia segera mengikuti arahan gadis itu.

Dia membaringkan dirinya disebelah gadis tersebut.  Langsung dia lupa akan janji-janjinya kepada Ilahi.  Gadis misteri itu perlahan-lahan membuka hijabnya.

Alangkah terkejutnya dia melihat wajah disebalik hijab tersebut.  Wajah gadis itu tidak seindah yang dia bayangkan.  Wajah itu sungguh buruk dan menakutkan.  Dia cuba untuk bangun namun terasa badannya begitu berat untuk bergerak.  Dia berasa sungguh takut dan menyesal.

"Mengapa kau kelihatan begitu takut sekali melihat wajahku? Sedangkan sebentar tadi tanpa ragu-ragu kau telah mengekoriku?  Bukankah kau tidak takut sehingga begitu berani memungkiri janjimu pada tuhanmu?" gadis itu menyeringai menambahkan lagi kehodohan diwajahnya.

"Aku adalah duniamu sewaktu kau masih hidup.  Kini kau telah pun mati.  Kau telah mengikut kata nafsumu sehingga aku yang tidak berharga walaupun dengan sebelah sayap lalat ini telah kau kejar.  Kau telah tertipu dengan hijab kecantikanku.  Dan kini, inilah pembalasan atas segala apa yang telah dirimu lakukan."  Gadi itu bingkas berdiri dan berlalu pergi meninggalkannya.

Rumah itu tiba-tiba bertukar gelap gelita dan ruang menjadi semakin sempit.  Dia cuba menjerit untuk meminta pertolongan namun tiada siapapun yang mendengar...

***

Dari awal kelahiran kita, kita telah dapat melihat, mendengar dan merasai betapa dunia ini Allah swt jadikan sungguh indah.  Kita tidak mampu melarikan diri dari memuji -muji dan memuja-muja keagungan kuasa Ilahi.

Malah Allah swt sendiri telah menjadikan kita sebagai satu ciptaanNya yang sangat unik, manarik, tertarik dan memang 'Da Bom'.  Mata, hidung, bibir dan sebagainya terletak indah ditempat yang sepatutnya.  Allah swt telah memberi kita peluang untuk bernafas disepanjang usia kita.  Kita dibenarkan berjalan menerokai keindahan alam ciptaannya.  Hati yang disinari iman terus bertasbih dan bertahmid memujiNya.

Namun di dalam keasyikan kita menerokai segala yang ada, kita kadang-kadang atau seringkali terlupa dan terlalai seketika dalam mengingatiNya.  Apabila diri dibaluti dengan kemewahan dunia kita bergembira sehingga terlupa mengucapkan syukur kepada yang memberi.  Tetapi ketika diri dilanda ujian yang mendukacitakan tanpa segan dan silu kita terus meminta-minta kepadaNya.  Betapa manusia sememangnya mudah lupa.

Seandainya kita dijemput bertemu yang Maha Agung disaat kita sering mengingatinya alangkah beruntungnya kita.  Namun cuba kita bayangkan seketika, andai kata kita dijemputNya disaat kita asyik dengan keindahan dunia yang sementera ini dan tidak bersedia...apakah nasib kita??? fikirkanlah dan cubalah kita bayangkan sejenak...

Waallahualam...

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan
(yang mengatasi kekuasaan Kami;masakan dapat)!
(Ar-Rahman, ayat 33)


Dalam pencarian ini, akhirnya ku temui Indahnya Islam
10 Januari 2011 (Isnin)

05 Januari 2011

Coretan Hati Pertama...

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
                                                                     (Al-Baqarah, ayat 284)

*****



Saya berkira-kira untuk melakukannya.  Bimbang sekiranya disalah anggap.  Namun segera saya beristighfar.  Mengakui kesilapan diri.  Apakah hak saya untuk meneka rasa hati dan fikiran orang lain?  Apa hak saya untuk menghukum mereka yang kononnya mereka akan memandang serong kepada saya?  Hakikatnya saya tidak punya sebarang hak untuk berfikiran sedemikian.  Saya seharusnya berfikir yang baik-baik sahaja tentang mereka.  Mereka semua adalah saudara seiman saya.  Mereka jauh lebih baik dan tinggi nilai imannya.  Ibadah mereka jauh lebih sempurna dari saya.  Jiwa dan hati mereka tidak serapuh jiwa dan hati saya.

Sememangnya diakui untuk memulakan sesuatu yang baru bukanlah satu perkara yang mudah.  Saya hanya mampu berdoa semoga Allah swt mengampunkan dosa-dosa saya dan semoga Allah swt meningkatkan iman saya dengan setiap ujian yang Dia berikan kepada saya...

SETENANG AIR DI KALI

”Cunlah isteri abang ni bila dah pakai macam ni.” suami tercinta tersenyum memandang ke arah saya.  Sedikit sebanyak komennya yang sepatah itu menenangkan hati saya.

”Macam tak confident la nak pakai macam ni bang.” jujur saya meluahkan rasa hati.

”Takpe. Slow-slow ye sayang.  Insyaallah, dah lama nanti okeylah tu.” Suami terus memberi kata-kata semangat.  Semangatnya mengalahkan pom-pom boy.  Sangat berkesan! Hehe..

Saya membetul-betulkan purdah yang dipakai.  Permulaan yang agak kurang selesa kerana kadang-kadang kain tersebut terkena bahagian mata.  Hati saya agak berdebar-debar.  Maklumlah berpakaian sebegini bukanlah suatu kebiasaan di mata masyarakat melayu kita.

”Okey la kot.  At least kalau terkentut pun orang tak tau muka kita macam mana.” gurauan saya disambut dengan tawa suami.

Setelah beberapa lama saya berfikir, akhirnya Allah swt telah menggerakkan hati saya untuk berpurdah.  Bukan niat saya untuk tunjuk baik atau berlagak lebih baik daripada orang lain dengan berpakaian begini.  Niat saya hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah swt.  Ternyata terlalu banyak kelebihan yang saya temui dalam pencarian berkenaan isu ini. Diantara kelebihan berpurdah  ialah :


-  "Barangsiapa memakai purdah pada hari akhirat kelak di syurga, satu orang lelaki mukmin akan dapat melihat wajah Allah pada setiap hari Jumaat, itulah nikmat yg paling tinggi di syurga...tetapi bagi wanita yang berpurdah Allah swt sendiri akan pergi ke syurga untuk melawat mereka bila mereka memerlukanNya...... "

- Allah akan tingkatkan Nur pada wajah 13x ganda daripada wajah asli. Kecantikan wajah seseorang wanita terletak bila Allah beri Nur wajah ini.

- Manfaat di dunia dengan memakai purdah sepenuhnya.

- Di syurga Allah beri 70x ganda kecantikan Laiba (Ketua Bidadari). Inilah manfaat rohani dan akhirat jika wanita ini dapat amalkan purdah. Ini merupakan satu rahmat dan nikmat Allah.

- Siti Fatimah berkata pada Rasulullah S.A.W, "Hai Rasulullah jika seseorang dapat menjaga auratnya itu adalah lebih manis daripada MADU tetapi untuk mengamalkannya adalah lebih halus dari seurat rambut kerana untuk menjaga seurat rambut adalah amat susah.

- Siti Fatimah r.a dapat menjaga auratnya dengan sepenuhnya hingga akhirat kelak apabila dia hendak melintasi Titian Sirat, Allah S.W.T memerintahkan semua supaya tunduk dan berpaling pandangan mereka dari melihat Siti Fatimah r.a. Beliau sungguh pandang berat pada aurat hingga beliau meninggalkan wasiat supaya jika ia meninggal dunia maka kebumikan beliau pada waktu malam supaya tidak siapa dapat melihat samada beliau kurus atau gemuk, tinggi atau pendek.

Waallahualam...

Saya berpurdah bukanlah kerana berhajatkan segala kelebihan-kelebihan di atas tapi hanyalah kerana Allah swt.  Segala kelebihan yang diketahui hanyalah sebagai penambah perasa keghairahan untuk melaksanakannya.

Semua muslimah di dunia ini tahu akan perintah Allah swt adalah memakai tudung dan melabuhkannya agar diri lebih terpelihara dan pemakaian purdah bukanlah satu kawajipan.  Ia adalah pilihan saya dan para muslimah yang lain. Terpulang pada anda. Tiada paksaan.  Full stop!!!

Sebagai insan biasa, kita sering terbuai dengan rasa cinta dan rindu kita kepada sang kekasih. Kita sanggup lakukan apa saja demi mengembirakan mereka.  Kita sanggup bersusah payah melakukan sesuatu demi membalas dan menghargai setiap pemberian orang kita cintai.  Begitulah hebatnya CINTA.

Saya juga begitu.  Rasa cinta dan rindu yang tiada kesudahan buatNya bagaikan tiada kesudahan.  Saya bagaikan seorang yang gila bayang.  Sering terbayang akan kerinduan yang tiada bertepi kepadaNya.  Demikianlah akhirnya saya sanggup berpurdah.  Hanya kerana ingin meraih cinta yang Maha Esa.

Namun kekangan ditempat kerja yang tidak membenarkan pakaian yang menutup muka seringkali membuatkan saya berasa begitu sayu dan sedih.  Ya! Diluar saya boleh berpakaian mengikut citarasa saya tapi ditempat kerja saya tidak dibenarkan berbuat sedemikian.  Kadang-kala kesedihan yang bertamu di hati saya menyebabkan saya ingin saja meletak jawatan tetapi saya masih terikat dengan perjanjian yang memerlukan saya untuk terus berkhidmat.  Segera saya pujuk hati saya agar terus bersabar.  Bukankah Allah swt itu Maha Bijaksana dalam mengatur hidup hamba-hambaNya.  Inilah aturan hidup yang terbaik bagi saya yang telah Allah swt kurniakan.  Subhanallah!

Sekarang saya tidak lagi berasa kekok untuk berpurdah.  Malah hati saya sangat tenang.  Setenang air di kali.  Saya berasa sangat bahagia, selamat dan sejahtera.  Kini saya tidak perlu menghabiskan masa di depan cermin untuk bersolek apabila ingin keluar.  Saya juga tidak perlu bimbang menjadi mangsa fasyen.  Saya pernah menonton sebuah video klip dari sebuah blog.  Penceramah tersebut berkata yang lebih kurang maksudnya :

”...wanita muslimah adalah wanita yang paling cantik di dunia.  Apabila mereka bercermin, mereka bukanlah bercermin untuk membuatkan lelaki-lelaki lain terpesona dengan mereka.  Mereka juga bukan bercermin untuk membuat lelaki-lelaki lain tergoda akan diri mereka.  Mereka bukanlah bercermin dengan harapan mereka akan kelihatan cantik dan akan dipuji tetapi mereka bercermin untuk memastikan diri mereka tertutup daripada pandangan jahat dunia.  Mereka bercermin untuk memastikan aurat mereka telah betul-betul terjaga dan mereka bercermin untuk mendapat keredhaan dari Allah swt.  Begitulah betapa cantiknya wanita muslimah kita..”

AKHIRNYA...

Saya adalah milik Allah swt.  Hanya Allah swt yang mengetahui apa yang tersurat dan tersirat pada diri saya.  Apa jua yang saya lakukan dan apa jua saya niatkan Dia lebih mengetahui.  Harapan saya adalah semoga Allah swt mengampunkan segala dosa-dosa saya yang lampau.  Terlalu banyak kesilapan yang telah dilakukan.  Sehinggakan setiap solat dan ibadat yang saya lakukan rasa tidak pernah cukup untuk menutupi setiap kesalahan yang lalu.  Hijab yang telah menutupi wajah saya kini juga tidak mampu untuk menghalang rasa malu yang menular dalam diri saya.  Saya malu pada Allah swt, pada RasulNya dan pada diri saya sendiri.  Masa muda yang telah saya sia-siakan dengan hiburan-hiburan dunia yang tiada sudahnya.  Ternyata sungguh sia-sia...

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”;
                          (Al-Imran, ayat 14-16)


Dalam pencarian ini, akhirnya ku temui Indahnya Islam
5 Januari 2011 (Rabu)

04 Januari 2011

Suatu Permulaan


Alhamdulillah...Segala Puji bagi Allah swt yang akhirnya menggerakkan jari-jemari saya untuk memulakan langkah di alam 'blog' ini.  Suatu permulaan yang rasanya agak sukar kerana setiap kali terdetik di hati ini untuk melakarkan sesuatu di ruangan ini, saat itu jugalah berlakunya ketandusan idea. Sesungguhnya inilah kekurangan saya sebagai hamba Allah swt yang lemah lagi tiada daya.

DI MANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA JALAN

Selama bertahun-tahun saya berkelana di 'alam maya', berbagai ruangan blog yang telah saya kunjungi.  Ada yang menghiburkan hati, ada yang penuh dengan pengisian ilmu, ada yang suka dan duka dan pelbagai coretan yang telah saya baca.  Semuanya menarik. Namun akhirnya di permulaan tahun 2011 ini, dengan izin Allah swt, hati saya telah terbuka untuk turut serta berkongsi rasa sepertimana yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabat yang lain.  Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.  Kemahuan diri yang sentiasa ingin melakukan sesuatu hanya untuk mendapat Redha Allah swt...

Jujur diakui ada sedikit rasa gementar untuk memulakannya.  Masakan tidak, bimbang andai kata apa yang dikongsikan nanti hanya berlandaskan kemahuan nafsu semata-mata.  Sekiranya itu terjadi, apakah mampu kelak untuk saya menjawab soalanNya tentang apa yang telah saya lakukan semasa diri diberi kesempatan untuk berjalan dimuka bumi ini? Semoga Allah swt sentiasa mengingatkan hati dan jiwa saya yang rapuh ini.  Peringatan demi peringatan adalah AMAT perlu bagi diri saya yang lemah ini agar saya tidak terus lalai dan lupa dengan segala tanggungjawab yang telah diberikan kepada saya.

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta ”.
                                                                                            
                                                                                             (Al-Furqan ayat ke-73)


“ Mereka itulah orang-orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman. Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): Tuhanku tidak mengindahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu. (tetapi bagaimana kamu beribadat kepadaNya), padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak azab pasti menimpamu

                                                                                            (Al-Furqan, ayat 75-77)

Dengan segala nikmat yang telah Allah swt kurniakan kepada saya dan seluruhnya hambaNya, tiada lagi alasan bagi saya untuk tidak bersyukur kepadaNya.  Juga tiada alasan bagi saya untuk memulakan sesuatu dengan membelakangi pertolongan dariNya.  Sesungguhnya Dia lah yang Maha Berkuasa atas apa yang Dia kehendaki.  Begitulah juga 'suatu permulaan' bagi saya dalam memulakan ruangan ini...


Pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya).Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan                                                                                                  
                                                                                            (Ar-Rahman, ayat 39 - 40)


Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar !!!



Dalam pencarian ini, akhirnya ku temui Indahnya Islam
4 Januari 2011 (Selasa)